Monday, August 25, 2008

Satu Pemerhatian Dari Sudut Kiri Kafetaria

Aku perhatikan lenggok langkahmu, gemalai, aturan kiri kanan tersusun rapi. Baju kurung, sutera di mataku, dengan lorekan warna kuning, merah jambu dan biru laut terlalu cocok dengan perawakan timurmu. Tiga butiran mutiara berkait, berayun di hujung tabir tudung litup. Ayu.

Orangmu langsing, bertubuh datar, lekuk pinggangmu bagaikan surihan biola. Termanggu aku, longgar lututku, seperti sendi mekanikal yang tercabut skrunya.

Wajah bujur sirih, bibir merekah merah delima, tampak anggun bila ditarik hujung-hujungnya oleh senyuman. Sepasang butiran mata galak, bebolanya hitam pekat, kerdipan bintangpun tidak seseri kilasan jelinganmu. Dua garisan kening lentik bercantum dengan jambatan hidung. Tanda lahir penyeri muka tertitik di pipi.

Dudukmu duduk puteri. Sopan santun ketimuran. Aku perhatikan jemari runcing halusmu menyuap santapan. Perlahan-lahan kau temukan geraham atas dan bawahmu menghancurkan juadah dan aku bayangkan rengkungmu membayang apabila kau menelan.

Padaku kau sempurna.

Aku lihat jua tutur bualmu dengan teman sebelahan. Tata bicara yang aku kurang periksa biji-butirannya. Namun begitu pada tanggapanku, melalui gaya mimik muka bersahaja, juihan bibirmu dan tunduk kepalamu kepada komentar jiran itu, bincanganmu adalah berkisar kepada hal-hal kehatian ataupun mungkin ia sedang bercerita tentang sorotanku ini. Biarkanlah.

Konsentrasiku dibunuh. “Mat, beri api.”

Abang senior minta api rokok. Aku nyalakan sumber inspirasi dan sumber karsinorgennya. Baru aku sedar yang nasi di pingganku telah kedinginan, tangan kananku berkerak dengan sisa-sisa dan ais di dalam gelas Nescafe ‘O’ Beng aku telah habis cair, mentawarkan minuman kegemaranku itu. Detik waktu terhenti dalam aku menelaahmu. Aku geleng kepala.

Dari jarak 17 kaki yang memisahkan kita, aku lihatkau bangun menuju ke sinki mencuci tangan, kembali ke meja menjemput rakan setiamu. Berangkatlah kamu kembali ke istana diiringi dayang-dayang. Lenggok-langkahmu tetap gemalai, tarian kaki kiri-kananmu tetap teratur, wajahmu tetap sempurna.

Aku puji tuhan kerana mencipta makhluk sepertimu, bidadari dunia bagiku, mampu membunuh waktuku untuk memujamu.

Kau tetap sempurna.

x.x.1990
This was written when I was in the 1st sem of my Maktab days as an exercise of descriptive writing in BM. Though meant as an exercise, the event was real and the characters were non-fictional.
Most probably a BM teacher would butcher my language to bits. I cringe, too, reading it again after it had lain hidden after all this time. Sappy it may be, but please do enjoy this very rare occassion when I answered the Muse's call in BM.

No comments: